Sebahagian dari umat Islam memandang bahawa hukum membaca al-Quran, memegang al-Quran dan masuk ke dalam masjid bagi perempuan haidh dan orang yang berhadas besar adalah sama. Tetapi apabila kita amati pendapat-pendapat ulama’ di dalam masalah ini kita akan dapati bahawa mereka membezakan di antara setiap masalah tersebut. Di sini kami mengambil kesempatan untuk menjelaskan kepada pembaca pendapat para ulama’ di dalam beberapa masalah yang berkaitan dan menyatakan kesimpulan kami di dalam masalah tersebut.
Hukum Membaca al-Quran
Para ulama’ bersepakat mengatakan haram bagi seseorang yang berhadas besar membaca al-Quran. Ini kerana dalil di dalam masalah ini adalah kuat dan jelas.
Manakala bagi perempuan haidh, mereka khilaf di dalam masalah ini kerana kelemahan dalil yang berkait dengan masalah ini.
Jumhur ulama’ mengatakan haram bagi perempuan haidh membaca al-Quran:
1. Imam at-Termizi mengatakan bahawa itu adalah pandangan majoriti ahli ilmu di kalangan sahabat, tabien dan generasi sesudahnya. (Jami’ Usul Jilid 7, ms 358 dan Bidayah Mujtahid Jilid 1 ms 56)
2. Imam al-Nawawi (ulama’ mazhab Syafie) mengatakan bahawa itu adalah pendapat yang diriwayatkan dari Omar, Ali dan Jabir r.a. dan juga pendapat al-Hasan al-Basri, Qatadah, Ato’, Abu al-Aliah, an-Nakhaie, Said bin Jubair, az-Zuhri, Ishak dan Abu Thur.
3. Imam Ahmad mempunyai dua riwayat di dalam masalah ini; pertama haram dan kedua harus.
4. Pendapat yang masyhur di dalam mazhab Syafie haram bagi perempuan haidh membaca al-Quran.
Sebahagian ulama’ pula mengatakan harus:
1. Jumhur ulama’ mazhab Syafie dari Khurasan mengatakan bahawa qaul qadim (fatwa Imam Syafie sebelum dia berpindah ke Mesir) adalah harus bagi perempuan haidh membaca al-Quran. (Majmu’ Syarah Muhazzab Jilid 2 ms 356)
2. Muktamad di dalam mazhab Maliki adalah harus bagi perempuan haidh membaca al-Quran secara mutlak dalam apa juga keadaan kecuali apabila haidhnya berhenti, diharamkan dia membaca al-Quran sehinggalah dia mandi.
Dalil bagi yang mengatakan haram membaca al-Quran bagi perempuan haidh ada dua:
1. Hadis yang diriwayatkan oleh al-Termizi dari Abdullah bin Omar r.a.: “Janganlah seorang perempuan haidh dan seorang yang berhadas besar membaca apa-apa dari ayat al-Quran.”
2. Dalil kedua adalah qias. Hukum perempuan yang haidh diqiaskan kepada hukum orang yang berhadas besar kerana wujudnya ‘illah’ yang membolehkan kedua-dua hukum ini disamakan.
Berkenaan dalil yang pertama, Imam Nawawi berkata: “Hadis ini diriwayatkan oleh al-Termizi dan al-Baihaqi daripada Abdullah bin Omar r.a. tetapi al-Termizi dan al-Baihaqi mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis dhaif.” (Majmu’ Syarah Muhazzab Jilid 2 ms 356). Ulama’ mazhab Hanafi juga bersetuju bahawa hadis ini dhaif walau pun mereka berpendapat bahawa perempuan yang haidh haram membaca al-Quran (al-Binayah Jilid 1 ms 643 - 644).
Ulama’ yang mengatakan haram membaca al-Quran bagi perempuan yang haidh seterusnya mengatakan bahawa walau pun hadis ini dhaif tetapi ia boleh dijadikan dalil kerana ada hadis-hadis dari pelbagai riwayat yang menguatkannya.
Manakala dalil bagi ulama’ yang mengatakan harus bagi perempuan yang haidh membaca al-Quran ada dua:
1. Hadis yang diriwayatkan dari Aisyah r.a. bahawa beliau membaca al-Quran ketika beliau berada dalam keadaan haidh.
2. Dalil akal yang membezakan di antara haidh dan hadas besar. Haidh tempohnya panjang berbanding hadas besar. Tidak membaca al-Quran untuk tempoh yang panjang akan menjadikan dia lupa. Di samping jika sekiranya dia adalah seorang guru agama yang mengajar al-Quran, hukum haram tersebut akan menjadikan mata pencariannya terganggu. (Majmu’ Syarah Muhazzab Jilid 2 ms 357)
Dengan itu kami simpulkan bahawa perempuan haidh adalah haram membaca al-Quran dengan berpandukan dalil-dalil di atas. Jumhur sahabat, tabien dan ulama’ sesudah mereka berpendapat demikian dan ini menunjukkan kekuatan pendapat ini. Walau pun begitu diharuskan bagi perempuan haidh membaca al-Quran di dalam keadaan dharurat dan atas sebab-sebab tertentu seumpama yang disebutkan di atas.
Hukum Berada Di Dalam Masjid
Hukum berada di dalam masjid bagi perempuan haidh sama seperti hukum membaca al-Quran iaitu ulama’ yang mengatakan haram mereka berdalilkan dalil yang lemah dan qias kepada hukum hadas besar.
Imam Malik, al-Thauri, Ibnu Rahaweh dan Ibnu Mas’ud berpendapat bahawa haram bagi perempuan haidh berada di dalam masjid.
Dalil yang mengatakan haram berada di dalam masjid adalah:
1. Hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan Abu Daud daripada Aisyah r.a.: “Aku tidak halalkan masjid bagi orang yang berhadas besar dan perempuan yang haidh.”
2. Qias orang yang berhadas besar yang diambil dari firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci…” (An-Nisa: 43)
Walau pun begitu Imam Nawawi mengatakan bahawa hadis di atas tidak mempunyai sanad yang kuat. Begitulah juga ulasan ulama’ mazhab Hanafi berkenaan hadis ini (al-Niyabah Jilid 1 ms 636).
Para ulama’ yang mengatakan haram berada di dalam masjid bagi perempuan haidh bagaimana pun mengharuskan mereka lalu di dalam masjid untuk sesuatu tujuan.
Ibnu Qudamah berkata: “Harus melintas di dalam masjid untuk sesuatu keperluan seperti mengambil sesuatu atau menghantar sesuatu atau kerana memang itu adalah laluan orang ramai.”
Al-Thauri dan Ishak berkata: “Tidak boleh lalu di dalam masjid kecuali jika terpaksa tetapi dia hendaklah bertayammum dahulu.”
Ini juga adalah pendapat Ibnu Mas’ud, Ibnu Abbas, Ibnu al-Musayyib, al-Hasan, Imam Malik dan Imam Syafie.
Di antara dalil pengecualian ini adalah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya: “Ambilkan aku khumrah (sejenis sejadah).” Aisyah r.a. berkata: “Tetapi aku berada dalam keadaan haidh.” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Darah haidh kamu bukan berada di tangan kamu.” (Al-Mughni Jilid 1 ms 166).
Dengan itu kami simpulkan bahawa hukum duduk di dalam masjid bagi perempuan haidh untuk mendengar pengajian dan sebagainya adalah harus selagi mana wujudnya keperluan dan maslahah syarieyyah serta terjamin tidak mengotorkan masjid.
No comments:
Post a Comment