June 27, 2008

koleksi hadis

Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mengadakan sesuatu dalam urusan agama yang tidak terdapat dalam agama maka dengan sendirinya ia akan tertolak


Hadis Saidatina Aisyah r.a:
Sesungguhnya kaum Quraisy merasa bingung dengan masalah seorang wanita dari kabilah Makhzumiah yang telah mencuri. Mereka berkata: Siapakah yang akan memberitahu masalah ini kepada Rasulullah s.a.w? Dengan serentak mereka menjawab: Kami rasa hanya Usamah sahaja yang berani memberitahunya, kerana dia adalah kekasih Rasulullah s.a.w. Maka Usamah pun pergilah untuk memberitahu kepada Rasulullah s.a.w, lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Jadi maksud kamu semua ialah untuk memohon syafaat terhadap salah satu dari hukum Allah? Kemudian Baginda berdiri dan berkhutbah: Wahai manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya umat-umat sebelum daripada kamu ialah, apabila mereka mendapati ada orang mulia yang mencuri, mereka membiarkannya sahaja. Tetapi apabila mereka dapati orang lemah di antara mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman ke atasnya. Demi Allah, sekiranya Saidatina Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya .


Hadis Ibnu Abbas r.a:
Sesungguhnya Nabi s.a.w hendak dijodohkan dengan puteri Hamzah. Akan tetapi baginda bersabda: Sesungguhnya dia tidak halal bagiku. Dia adalah puteri saudara lelaki sepersusuanku sendiri. Pengharaman disebabkan sepersusuan itu sama seperti pengharaman kerana keturunan keluarga


Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w memotong tangan seseorang yang mencuri harta sebanyak satu perempat dinar ke atas *headhurts*


Hadis Umar r.a katanya:
Harta benda Bani Nadhir adalah termasuk daripada pemberian Allah kepada Rasul-Nya, iaitu hasil rampasan orang-orang Islam yang didapati tanpa berperang. Harta rampasan tersebut adalah khusus kepada Nabi s.a.w untuk menafkahkan isteri-isterinya (keluarga baginda) selama satu tahun. Selebihnya dibelanjakan untuk membeli kelengkapan perang dan senjata untuk digunakan pada jalan Allah


Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a katanya:
Kami pernah berperang bersama Rasulullah s.a.w dalam peperangan Bani Mustaliq dan kami berjaya menawan beberapa orang perempuan Arab yang sangat cantik. Sebenarnya kami ingin bersetubuh dengan mereka tetapi kami bimbang mereka hamil, jadi kami melakukan A'zal dalam persetubuhan itu. Kami lakukan itu di saat Rasulullah s.a.w masih ada. Kami takut untuk bertanya masalah itu kepada baginda s.a.w. Tetapi akhirnya kami bertanya juga masalah itu kepada baginda. Baginda bersabda: Tidak perlu kamu lakukan itu kerana segala sesuatu yang telah ditakdirkan oleh Allah pasti akan wujud. Perkara sebegitu akan berlaku hingga Hari Kiamat


Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa membeli kambing yang dibiarkan dengan tidak diperah susunya hendaklah membawanya kembali dan memerah susunya. Sekiranya beliau redha dengan keadaan air susunya maka ambillah kambing itu, sekiranya dia tidak redha, dia boleh mengembalikannya dengan disertai segantang buah kurma


Hadis Jabir bin Abdullah r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa sahaja dari kalangan lelaki yang diberi saraan hidup untuknya dan keturunannya maka pemberian tadi menjadi miliknya, tidak harus dikembalikan kepada orang yang memberi karena dia telah memberikan suatu pemberian yang berkaitan dengan hukum pusaka


Hadis Anas bin Malik r.a:
Sesungguhnya beberapa orang dari daerah Urainah datang ke Madinah untuk menemui Rasulullah s.a.w mereka telah menghidap sakit perut yang agak serius. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepada mereka: Sekiranya kamu mahu, keluarlah dan carilah unta sedekah, maka kamu minumlah susu dan air kencingnya. Lalu mereka meminumnya, dan ternyata mereka menjadi sihat. Kemudian mereka pergi kepada sekumpulan penggembala lalu mereka membunuh penggembala yang tidak berdosa itu dan mereka telah menjadi murtad (keluar dari Islam.) Mereka juga telah melarikan unta milik Rasulullah s.a.w, kemudian peristiwa itu diceritakan kepada Rasulullah s.a.w. Lalu baginda memerintahkan kepada para sahabat agar menangkap mereka. Setelah ditangkap lalu mereka dihadapkan kepada baginda s.a.w. Maka Rasulullah s.a.w pun memotong tangan dan kaki serta mencungkil mata mereka. Kemudian baginda membiarkan mereka berada di Al-Harrah (sebuah daerah di Madinah yang terkenal penuh dengan batu hitam) sehingga mereka meninggal dunia


Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a katanya:
Orang-orang Quraizah telah mengarahkan supaya Saad bin Muaz memutuskan hukuman. Lalu Rasulullah s.a.w menghantar utusan kepada Saad supaya datang menghadap baginda. Maka Saad pun menemui Rasulullah s.a.w dengan menunggang seekor keldai. Ketika beliau tiba di pintu masjid, Rasulullah s.a.w. bersabda kepada kaum Ansar: Berdirilah kamu untuk menghormati pemimpin kamu atau orang yang terbaik di antara kamu. Kemudian Nabi s.a.w bersabda kepada Saad: Sesungguhnya mereka semua menyerahkan supaya kamu memutuskan hukuman ke atas mereka. Saad berkata: Kamu bunuhlah orang yang memusuhi kamu serta menawan anak cucu mereka. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Jalankanlah hukuman berdasarkan hukum Allah Yang Maha Kuasa. Ibnu Al-Musanna tidak menyebut kalimat Yang Maha Kuasa


Hadis Al-Abbas bin Abdul Muttalib r.a:
Sesungguhnya beliau berkata: Wahai Rasulullah! Adakah engkau dapat memberikan sesuatu manfaat kepada Abu Talib? Sesungguhnya dia membelamu iaitu menolong, menjaga, memenuhi segala keperluan dan marah kepada musuhmu demi keselamatanmu. Rasulullah s.a.w menjawab dengan sabdanya: Ya, dia berada di Neraka yang paling cetek iaitu kurang panas. Kalaulah tidak kerana aku, nescaya dia berada di Neraka yang paling bawah iaitu paling panas


Hadis Umar bin Abu Salamah r.a katanya:
Aku pernah berada di bawah penjagaan Rasulullah s.a.w. Ketika waktu makan, tanganku terhulur hendak menjangkau talam, lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: Wahai anak muda! Bacalah Basmalah, makanlah dengan tangan kanan dan mulakan dengan makanan yang terdekat denganmu


Hadis Abu Hurairah r.a:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Jangan sekali-kali salah seorang di antara kamu memanggil: Wahai hambaku (lelaki) dan hambaku (perempuan). Kerana kamu semua adalah hamba-hamba Allah. Seluruh kaum perempuan adalah hamba-hamba Allah. Tetapi hendaklah dia memanggil: Wahai khadamku, wahai jariahku dan wahai muda-mudiku


Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila anjing menjilat air yang berada dalam bekas salah seorang daripada kamu, hendaklah dituangkan air tersebut, seterusnya basuhlah iaitu samaklah sebanyak tujuh kali


Hadis Saidatina Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w:
Rasulullah s.a.w selalu diserahkan beberapa orang bayi supaya didoakan dengan keberkatan serta mentahnikkan mereka. Sebaik sahaja baginda diserahkan seorang bayi, bayi tersebut kencing di atas baginda. Baginda meminta sedikit air kemudian mencurahnya di atas kencing tersebut tanpa membasuhnya


Hadis Saidatina Aisyah r.a:
Diriwayatkan daripada Alqamah r.a katanya: Bahawa suatu pagi seorang sahabat mencuci pakaiannya. Lalu Saidatina Aisyah r.a berkata: Sepatutnya kamu membasuh sebahagiannya sahaja. Sekiranya kamu melihat kekotorannya, basuhlah tempat kotor tersebut. Sebaliknya jika tidak kelihatan, memadailah dengan kamu memercikkan air disekitarnya sahaja. Sesungguhnya aku pernah mengikis air mani yang terdapat pada pakaian Rasulullah s.a.w seterusnya baginda menggunakan pakaian tersebut untuk mendirikan sembahyang


Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Sebagaimana seekor ternakan yang melahirkan anaknya (dengan sempurna kejadian dan anggotanya), adakah kamu menganggap hidung, telinga dan lain-lain anggotanya terpotong?


Hadis Anas r.a katanya:
Seorang lelaki berjumpa Nabi s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah melakukan sesuatu yang boleh dikenakan hukum hudud, oleh itu hukumlah aku. Anas berkata: Sebaik sahaja tiba waktu sembahyang lelaki tersebut turut mendirikan sembahyang bersama-sama Rasulullah s.a.w. Setelah selesai sembahyang lelaki tadi berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah melakukan sesuatu yang boleh dikenakan hukum hudud. Oleh itu hukumlah aku sebagaimana yang dinyatakan dalam Al-Quran. Baginda bersabda: Adakah kamu mendirikan sembahyang bersama-sama kami? Lelaki tersebut menjawab: Ya. Baginda bersabda: Kamu telah diampunkan oleh Allah s.w.t gembira


Hadis Zaid bin Arqam r.a katanya:
Ketika kami musafir bersama Rasulullah s.a.w tiba-tiba orang ramai ditimpa kesulitan. Lalu Abdullah bin Ubai berkata kepada pengikutnya: لَا تُنْفِقُوا عَلَى مَنْ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ حَتَّى يَنْفَضُّوا مِنْ حَوْلِهِ Yang bermaksud: Janganlah kamu membelanjakan harta benda kamu kepada orang-orang yang ada bersama Rasulullah s.a.w supaya mereka bersurai meninggalkannya di sekitar kawasan tersebut. Zuhair berkata: حوله adalah bentuk bacaan Al-Quran bagi orang yang membacanya secara baris di bawah. Abdullah bin Ubai berkata lagi: لَئِنْ رَجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الْأَعَزُّ مِنْهَا الْأَذَلَّ Yang bermaksud: Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah dari medan perang sudah tentu pihak kita sebagai orang-orang yang mulia lagi kuat akan mengusir orang-orang yang hina lagi lemah iaitu pihak Islam keluar dari Madinah. Zaid berkata: Aku terus berjumpa Nabi s.a.w memberitahu kata-kata tersebut. Lalu Rasulullah s.a.w memanggil Abdullah bin Ubai bertanya tentang ucapannya. Tetapi Abdullah bersumpah tidak pernah berkata demikian. Malah dia menjawab bahawa: Zaid telah membohongi Rasulullah s.a.w. Zaid berkata: Aku menjadi resah mendengar jawapannya itu sehinggalah Allah menurunkan ayat menjelaskan kebenaranku إِذَا جَاءَكَ الْمُنَافِقُونَ Yang bermaksud: Apabila orang-orang munafik datang kepada kamu wahai Muhammad. Zaid berkata: Kemudian Nabi s.a.w memanggil Abdullah bin Ubai dan pengikutnya supaya meminta ampun. Zaid berkata: Mereka menggeleng kepala masing-masing كَأَنَّهُمْ خُشُبٌ مُسَنَّدَةٌ seolah-olah batang kayu yang tersandar. Zaid berkata: Sebenarnya rupa paras mereka amat baik


Hadis Saidatina Aisyah r.a:
Diriwayatkan daripada Urwah r.a katanya: Sesungguhnya ketika Abu Hurairah ingin meriwayatkan Hadis, beliau berkata: Dengarlah pemilik kamar (Saidatina Aisyah), dengarlah pemilik kamar. Ketika itu Saidatina Aisyah sedang sembahyang. Apabila Saidatina Aisyah selesai sembahyang, beliau berkata kepada Urwah: Tidakkah kamu telah mendengar ucapan orang itu sebentar tadi? Sesungguhnya Nabi s.a.w ketika menerangkan satu Hadis, sekiranya ada orang yang menghitungnya pasti baginda dapat mengetahuinya

June 19, 2008

hadis

Ya Allah, damaikanlah hati-hati kami, perbaikilah hubungan di antara kami, dan tunjukilah kami pada jalan-jalan keselamatan. Selamatkanlah kami dari kegelapan menuju cahaya, jauhkanlah kami dari kekejian baik yang nampak maupun yang tersembunyi, berkahilah kami pengelihatan, hati, isteri-isteri dan keturunan kami. ampunilah kami, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi maha Penyayang dan jadikanlah kami termasuk orang-orang yang mensyukuri nikmat-Mu dan senang hati menerimanya, serta sempurnakanlah nikmat tersebut atas kami

(Hadits Shohih Sunan Abu Dawud 969)

June 18, 2008

hukum membaca alquran dan duduk dlm masjid bg perempuan haid

Sebahagian dari umat Islam memandang bahawa hukum membaca al-Quran, memegang al-Quran dan masuk ke dalam masjid bagi perempuan haidh dan orang yang berhadas besar adalah sama. Tetapi apabila kita amati pendapat-pendapat ulama’ di dalam masalah ini kita akan dapati bahawa mereka membezakan di antara setiap masalah tersebut. Di sini kami mengambil kesempatan untuk menjelaskan kepada pembaca pendapat para ulama’ di dalam beberapa masalah yang berkaitan dan menyatakan kesimpulan kami di dalam masalah tersebut.

Hukum Membaca al-Quran

Para ulama’ bersepakat mengatakan haram bagi seseorang yang berhadas besar membaca al-Quran. Ini kerana dalil di dalam masalah ini adalah kuat dan jelas.

Manakala bagi perempuan haidh, mereka khilaf di dalam masalah ini kerana kelemahan dalil yang berkait dengan masalah ini.

Jumhur ulama’ mengatakan haram bagi perempuan haidh membaca al-Quran:

1. Imam at-Termizi mengatakan bahawa itu adalah pandangan majoriti ahli ilmu di kalangan sahabat, tabien dan generasi sesudahnya. (Jami’ Usul Jilid 7, ms 358 dan Bidayah Mujtahid Jilid 1 ms 56)

2. Imam al-Nawawi (ulama’ mazhab Syafie) mengatakan bahawa itu adalah pendapat yang diriwayatkan dari Omar, Ali dan Jabir r.a. dan juga pendapat al-Hasan al-Basri, Qatadah, Ato’, Abu al-Aliah, an-Nakhaie, Said bin Jubair, az-Zuhri, Ishak dan Abu Thur.

3. Imam Ahmad mempunyai dua riwayat di dalam masalah ini; pertama haram dan kedua harus.

4. Pendapat yang masyhur di dalam mazhab Syafie haram bagi perempuan haidh membaca al-Quran.

Sebahagian ulama’ pula mengatakan harus:

1. Jumhur ulama’ mazhab Syafie dari Khurasan mengatakan bahawa qaul qadim (fatwa Imam Syafie sebelum dia berpindah ke Mesir) adalah harus bagi perempuan haidh membaca al-Quran. (Majmu’ Syarah Muhazzab Jilid 2 ms 356)

2. Muktamad di dalam mazhab Maliki adalah harus bagi perempuan haidh membaca al-Quran secara mutlak dalam apa juga keadaan kecuali apabila haidhnya berhenti, diharamkan dia membaca al-Quran sehinggalah dia mandi.

Dalil bagi yang mengatakan haram membaca al-Quran bagi perempuan haidh ada dua:

1. Hadis yang diriwayatkan oleh al-Termizi dari Abdullah bin Omar r.a.: “Janganlah seorang perempuan haidh dan seorang yang berhadas besar membaca apa-apa dari ayat al-Quran.”

2. Dalil kedua adalah qias. Hukum perempuan yang haidh diqiaskan kepada hukum orang yang berhadas besar kerana wujudnya ‘illah’ yang membolehkan kedua-dua hukum ini disamakan.

Berkenaan dalil yang pertama, Imam Nawawi berkata: “Hadis ini diriwayatkan oleh al-Termizi dan al-Baihaqi daripada Abdullah bin Omar r.a. tetapi al-Termizi dan al-Baihaqi mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis dhaif.” (Majmu’ Syarah Muhazzab Jilid 2 ms 356). Ulama’ mazhab Hanafi juga bersetuju bahawa hadis ini dhaif walau pun mereka berpendapat bahawa perempuan yang haidh haram membaca al-Quran (al-Binayah Jilid 1 ms 643 - 644).

Ulama’ yang mengatakan haram membaca al-Quran bagi perempuan yang haidh seterusnya mengatakan bahawa walau pun hadis ini dhaif tetapi ia boleh dijadikan dalil kerana ada hadis-hadis dari pelbagai riwayat yang menguatkannya.

Manakala dalil bagi ulama’ yang mengatakan harus bagi perempuan yang haidh membaca al-Quran ada dua:

1. Hadis yang diriwayatkan dari Aisyah r.a. bahawa beliau membaca al-Quran ketika beliau berada dalam keadaan haidh.

2. Dalil akal yang membezakan di antara haidh dan hadas besar. Haidh tempohnya panjang berbanding hadas besar. Tidak membaca al-Quran untuk tempoh yang panjang akan menjadikan dia lupa. Di samping jika sekiranya dia adalah seorang guru agama yang mengajar al-Quran, hukum haram tersebut akan menjadikan mata pencariannya terganggu. (Majmu’ Syarah Muhazzab Jilid 2 ms 357)

Dengan itu kami simpulkan bahawa perempuan haidh adalah haram membaca al-Quran dengan berpandukan dalil-dalil di atas. Jumhur sahabat, tabien dan ulama’ sesudah mereka berpendapat demikian dan ini menunjukkan kekuatan pendapat ini. Walau pun begitu diharuskan bagi perempuan haidh membaca al-Quran di dalam keadaan dharurat dan atas sebab-sebab tertentu seumpama yang disebutkan di atas.

Hukum Berada Di Dalam Masjid

Hukum berada di dalam masjid bagi perempuan haidh sama seperti hukum membaca al-Quran iaitu ulama’ yang mengatakan haram mereka berdalilkan dalil yang lemah dan qias kepada hukum hadas besar.

Imam Malik, al-Thauri, Ibnu Rahaweh dan Ibnu Mas’ud berpendapat bahawa haram bagi perempuan haidh berada di dalam masjid.

Dalil yang mengatakan haram berada di dalam masjid adalah:

1. Hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan Abu Daud daripada Aisyah r.a.: “Aku tidak halalkan masjid bagi orang yang berhadas besar dan perempuan yang haidh.”

2. Qias orang yang berhadas besar yang diambil dari firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci…” (An-Nisa: 43)

Walau pun begitu Imam Nawawi mengatakan bahawa hadis di atas tidak mempunyai sanad yang kuat. Begitulah juga ulasan ulama’ mazhab Hanafi berkenaan hadis ini (al-Niyabah Jilid 1 ms 636).

Para ulama’ yang mengatakan haram berada di dalam masjid bagi perempuan haidh bagaimana pun mengharuskan mereka lalu di dalam masjid untuk sesuatu tujuan.

Ibnu Qudamah berkata: “Harus melintas di dalam masjid untuk sesuatu keperluan seperti mengambil sesuatu atau menghantar sesuatu atau kerana memang itu adalah laluan orang ramai.”

Al-Thauri dan Ishak berkata: “Tidak boleh lalu di dalam masjid kecuali jika terpaksa tetapi dia hendaklah bertayammum dahulu.”

Ini juga adalah pendapat Ibnu Mas’ud, Ibnu Abbas, Ibnu al-Musayyib, al-Hasan, Imam Malik dan Imam Syafie.

Di antara dalil pengecualian ini adalah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya: “Ambilkan aku khumrah (sejenis sejadah).” Aisyah r.a. berkata: “Tetapi aku berada dalam keadaan haidh.” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Darah haidh kamu bukan berada di tangan kamu.” (Al-Mughni Jilid 1 ms 166).

Dengan itu kami simpulkan bahawa hukum duduk di dalam masjid bagi perempuan haidh untuk mendengar pengajian dan sebagainya adalah harus selagi mana wujudnya keperluan dan maslahah syarieyyah serta terjamin tidak mengotorkan masjid.